Memaparkan catatan dengan label Garapan Sebuah Kehidupan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Garapan Sebuah Kehidupan. Papar semua catatan

Jumaat, 9 Ogos 2024

Aku Hanya Ingat Nama Dia Shahril


 Aku hanya ingat namanya Shahril. Sebenarnya nama dia lebih panjang lagi. Tapi aku betul-betul lupa nama penuhnya.

Aku kenal dia melalui classmate aku. Pertemuan pertama kami berlaku di air terjun Lata Kinjang. Dia seorang tentera berpangkat Kapten. Aku waktu itu tidak sepenuhnya hati kepada dia kerana waktu itu cinta bagiku tidak penting. Asalkan ada lelaki yang sudi berkawan dan mengajak aku keluar di hari cuti mengelak rasa boring terkurung di rumah sewa.

Cerita aku dan dia tak banyak. Aku juga lupa berapa lama mengenalinya. Kami sempat keluar beberapa kali berkelah dan mandi di air terjun. Dia memang jatuh cinta denganku tapi hatiku masih samar untuk dia. 

Apabila dia mula berbincang perihal ibunya dan berniat membawa aku berjumpa dengan ibunya, aku mula tarik tali. Aku belum terfikir ke arah itu.  Waktu itu telefon tangan belum ada. Dia akan datang ke rumah sewaku mengajak aku keluar. Namun aku enggan keluar.

Aku tak tahu bila kami mula terputus tapi seingatku apabila dia memberitahu dia terpaksa berkursus lama untuk kenaikan pangkat dan tidak dapat berjumpa denganku. Semenjak itu aku tanpa sedar kehilangan dia. Walaupun dia ada datang ke rumah sewa mencariku tapi aku waktu itu sudah keluar dengan lelaki lain. 

Dia agak kecewa menurut teman yang memperkenal kami. Tapi jiwa aku yang masih ingin bebas, tidak suka terikat dengan seseorang menyebabkan kami terputus hubungan hingga kini..

Itulah secebis kisah dengan lelaki asal Gopeng yang mengguna kereta Toyota Putih plate W... waktu itu. Kini aku hanya terbayang foto kenangan kami bersama di Air Terjun Lata Kinjang yang ibuku musnahkan ketika berkunjung ke rumah sewaku beberapa tahun kemudian. 

Jumaat, 15 Disember 2023

Pria Yang Pernah Mencorak Kanvas Hidupku

Dia pensyarah yang mengajar di kolej pria sedangkan kolej pengajianku semuanya perempuan. Pertemuan aku dan dia di tempat praktikal ketika aku di tahun akhir. Mulanya aku tidak berminat untuk mengenalinya. Aku tidak berminat kerana dia bukan type pria idamanku. Walaupun wajahnya kacak dengan beard nipis di trim kemas, berwajah maskulin dengan tulang pipi yang timbul,bertubuh atelit tinggi dan berotot sado namun mataku tidak memandangnya. Aku tidak berminat dengan warna kulitnya yang agak tan maklumlah dia berketurunan sana.
Seminggu aku menjalani praktikal di situ, ditempat yang sama dia berada dengan anak buahnya. Aku tidak hiraukan dia malahan aku tidak tahu pun keujudannya di situ. Semasa hari terakhir praktikal di situ, ketika aku balik ke tempat penginapanku, seorang teman sekuliah menghulurkan secebis nota kecil mengandungi nombor telefon. Waktu itu hanya cara begitu sahaja yang ada dan paling ramai guna untuk memulakan suatu perhubungan.
Aku menyimpan nombor telefon itu hingga esoknya aku terbuka hati untuk menelefonnya. Dari situ bermulalah sketsa aku dan dia. Apabila ada luang hari cuti, aku mencuri peluang untuk keluar berdating dengannya. Dari seorang yang tidak aku minati tapi akhirnya aku jatuh hati. Dia seorang yang pandai berbicara dengan perempuan. 
Teringat waktu dia menghubungiku yang sedang menonton tv waktu itu. Dia bertanya aku cerita yang aku tontoni. Aku beritahunya tidak tahu kerana mataku sahaja yang fokus kepada kaca televisyen sedangkan fikiranku tidak pada tempatnya.
"You keluar sekarang! Buka tingkap luas-luas"
"Kenapa?" Aku bertanya hairan dengan arahannya.
"You buat apa yang I cakap ni!" Dari jauh dia memberi arahan. Aku pula bagaikan kerbau dicucuk hidung terus bangkit membuka tingkap seluasnya. Seolah aku mencari kehadirannya di situ waktu itu.
"Dah, I dah buka tingkap luas-luas. Tak nampak pun you," Ujarku nada mengusik.
"You masuk semula. Ambik televisyen tu buang ikut tingkap. Apa gunanya tengok tv tapi you tak tau apa yang you tonton. baik you buang aje tv tu..." Ujarnya bernada serius, membuat aku kebingungan seketika. Beberapa saat kemudian kami ketawa bersama terbahak-bahak di telefon. Itu pun setelah aku fahami maksud sindirannya yang penuh kelucuan bagiku. 
Itulah antara kenangan bicara aku dan dia yang membuat aku suka bila berbual dengannya. Beberapa penuntut lain ada yang cemburu mendapat tahu aku keluar dengannya. Rupanya ada beberapa penuntut prempuan yang tertarik padanya. Malahan yang pelik, aku yang tidak tertarik padanya pula menjadi rapat dengan dia.
Kami keluar beberapa kali sehinggalah aku tamat pengajian. Selepas tamat belajar dan aku mula bekerja, aku tidak lagi berhubung dengannya kerana di tempat baru aku mengenali pula pria lain. Lagipun tiada istilah cinta antara aku dan dia. Lagipun aku dapati tiada keserasian antara kami. Di situ sahaja kami berhubung dan ianya terputus dengan sendiri. 

(Curhat Seorang Kenalan)

Khamis, 21 September 2023

Nama Dia MRS


 Dia adalah antara lelaki yang aku kenali melalui alam maya. Majalah URTV  April 2000 bermula kisahnya. Dia menghantar salam perkenalan dan aku membalasnya. Tidak lama kemudian aku menemuinya untuk pertama kali di bandar Ikan Patin.

Aku ditemani rakan sekerja dan dia juga hadir berdua bersama temannya dari ibu kota. Waktu itu aku seorang yang pemalu dan sangat naif. Dia rupanya menyukai gadis polos seperti aku. Pertemuan itu dirapatkan lagi dengan panggilan telefon kerana jarak antara aku dan dia agak jauh untuk bertemu saban waktu. 

Aku suka berbicara dengannya. Senang mengenalinya tapi hatiku tidak padanya. Dia seorang lelaki yang baik. Tulus dalam hubungan. Malahan aku juga diberi peluang untuk bercakap dengan ibunya melalui telefon. Dia kerap menghubungiku melalui telefon. Suka mengusikku.

Apabila dia mula bercerita perihal masa depan, aku tidak mahu dia mengharapkan lebih dari seorang kenalan. Aku memberitahunya bahawa aku bukanlah gadis yang baik. Maksudku bahawa aku mengenali lelaki lain lagi selain dia. Tapi rupanya dia menyangka aku telah terlanjur dengan lelaki lain sebelum dia. Sedangkan maksudku bukan begitu. Aku hanya mengenali beberapa lelaki lain selain dia. Katanya dia sanggup menerima keadaan diriku. Tapi aku secara perlahan menolaknya untuk melangkah terus ke depan. Aku memberanikan diri menelefon ibunya perihal aku yang tidak bersedia untuk menjadi miliknya. Aku tidak tahu apa yang merasukku waktu itu.

Teringat janjiku dengan pria lain yang berada nun jauh seberang laut mungkin menjadi alasan kukuh tidak menghadirkan rasa cinta di sanubariku. Tapi aku rasa sayang untuk melepaskan ikatan perkenalan yang terjalin. Bahkan hingga kini setelah masing-masing sudah berumahtangga aku dan dia masih berhubungan lewat alam maya tanpa diketahui pasangan kami masing-masing. Lagipun hubungan kami masih terkawal dan tidak pernah melampaui batas antara lelaki dan perempuan.

Dia masih tetap menganggap aku mempermainkan perasaannya tapi aku tidak berniat walaupun bunga-bunga permainan itu ada, tapi aku takut untuk memutuskan terus hubungan dengannya. Aku tak sanggup kehilangan dia terus dari hidupku. Setiap kali hari lahirnya aku sentiasa ingat. Aku hanya mampu ingat dari jauh kerana aku tak mahu isterinya salah faham. Melihat dia bahagia dengan anak-anak dan isterinya aku tak mahu mengganggu kebahagian itu walaupun hati aku sukar untuk bahagia. Namun tagline wajib sebelum ini sudah lama bagai dilupakan...

"KU TUNGGU JANDAMU!"

(Curhat Seorang Kenalan)

Jumaat, 15 Januari 2021

Menari Bersamaku

Kami sebaya. Dia dari borneo merantau ke tempatku bekerja. Kami berjumpa dan bercinta. Namun jodoh tidak sampai ke jenjang pelamin. Kami terpisah jua setelah dua tahun berkenalan.

Mengenalinya membuat aku rasa ceria jalani alam remaja walaupun saat itu sebenarnya remaja purba. Dia tidaklah kacak dan tidaklah tinggi tetapi bersamanya aku rasa serasi. Dia ikhlas menyayangiku. Rela mengikut apa sahaja mahuku. Kami berkongsi rasa dan perasaan namun kandas di tengah jalan akhirnya.
 Aku tahu dia sangat kecewa dengan perpisahan kami. Tapi apa dayaku tidak mampu untuk bersamanya. Selepas sekian lama berpisah, aku terjumpa media sosial miliknya dan kami mula berhubung secara maya. Mengingati masa zaman percintaan kami. Kini dia telah berkahwin dan mempunyai anak yang masih kecil. 

"Nanti abang beli kereta. Kita kongsi beli rumah!" Itu perancangan kami  yang tidak menjadi kenyataan akhirnya.

Menurutnya selepas kami berpisah, dia kecewa dan merancang tidak akan bercinta lagi. Namun jodohnya dipertemukan akhirnya dengan perempuan satu negeri dengannya. Aku tidak berniat untuk mengharap cinta kami terjalin semula kerana kami sudah ada pasangan sah masing-masing. Kami berusaha untuk setia kepada rumahtangga kami. Aku juga hanya menyapanya dan mengimbas kenangan sekadar ingatan silam sahaja. Teringat Taman Tasik Chatin saksi bisu pertemuan kami.

(Curhat Teman Lama)

Rabu, 16 Januari 2019

Adakah Dia Cinta Pertamaku?


 Aku mengenali dia semasa aku di bangku SMA. Perhubungan kami diteruskan sehingga aku masuk ke kolej. Dia juga dikolej yang sama denganku. Aku juga tidak menyangka dia mendapat tempat yang sama denganku.Semasa di kolej kami mencuri peluang untuk keluar bersama setiap hujung minggu. Aku dan dia terbatas pertemuan kerana kami masih belajar. 

Semasa aku di tahun kedua, dia tiba-tiba menghilang. Aku nanar mencarinya. Lama kemudian aku mendapat tahu dari temannya bahawa dia telah berhenti kolej. Aku rasa sangat terkilan kerana dia tidak memberitahuku langsung. Waktu itu aku sibuk dengan ujian semester. Keputusan ujianku hanya cukup makan sahaja yang melayakkan aku untuk meneruskan pengajianku.

Teringat aku semasa di sekolah SMA, aku berjumpa dengan adik perempuannya. Dia mengenaliku sebagai kekasih abangnya. Adiknya mengharapkan hubungan aku dan abangnya berkekalan. 

Namun jodoh kami hanya setakat itu sahaja kerana sehingga aku tamat pengajian dan bekerja serta berkahwin selepas tahun ketiga bekerja, aku tidak pernah menemuinya lagi. 

Kini cerita mengenai dia ada sekali sekala aku selidiki dari adiknya yang masih menjadi kenalan rapatku. Abangnya telah berkahwin dan mempunyai cahaya mata. Aku tidak kerap bertanya perihal dia kerana aku tahu batasan diriku. Sekadar ingat tak semestinya bersua.

Melihat wajah pria yang menemani hidupku kini, pasti aku kadang-kadang teringat dia. Wajahnya yang kacukan Cina Melayu sedangkan pria yang menemani hidupku berwajah seakan sama walaupun dia campuran Minang dan Rawa. Kedua-duanya berwajah tiongkok. Itulah yang pertama dan Insya-Allah yang terakhir untukku.

(Curhat Seorang Kenalan)

Rabu, 9 Mac 2016

Kembalikan Cincin Milik Timah

Anas! Nama ringkas pria itu. Aku mengenalinya semasa aku di tahun kedua pengajian. Kami berkenalan ketika aku keluar shopping dengan teman-teman. Waktu itu aku agak tomboy berambut pendek dan berpakaian lelaki. Namun dia berani menyapaku.

Kami menjadi rapat hingga teman-temannya menganggap kami pasangan kekasih. Waktu itu setiap kali aku hendak kembali ke kolej dia yang akan menjemputku dari stesyen bas. Malahan dia juga menemani menghantarku ke stesyen bas setiap kali aku hendak balik ke rumah orang tuaku.

Setiap hujung minggu kami akan keluar membonceng motornya. Dia membawaku ke rumah kakak angkatnya. Kami memasak di situ dan kemudian kami akan ke sungai berdekatan dengan rumah kakak angkatnya untuk berkelah dan mandi. Aku rasa bebas bersamanya. Bebas dalam erti kata, keluar berjalan-jalan, berkelah, bermain air dan dia menjemput dan menghantarku ke stesyen bas setiap kali hendak balik ke rumah orang tuaku. Walaupun kami agak berpeleseran, bergurau senda tapi kami masih menjaga batasan. Kerana enggan menyentuh tangannya hingga ke hari ini sebentuk cincin milikku yang diambil di sarung ke tangannya hingga kini tidak dikembalikannya. Cincin itu adalah pemberian ibuku semasa aku lulus sekolah menengah. Dia hanya ingin mengembalikan cincin itu andainya aku ambil sendiri dari tangannya. Sedangkan aku enggan menyentuh tangannya kerana aku tahu batasannya. 

Namun hubungan kami terputus setelah dia tamat pengajian. Hingga kini aku tidak pernah berjumpa walaupun aku tahu tempat kerjanya di mana. Bila diingat kisah aku dan dia terasa bodohnya aku bila mendengar cerita dari kakak senior yang satu tempat kerja dengannya, dia sudah bertunang dan akhirnya berkhawin dengan perempuan lain. Aku bersyukur kerana tidak sepenuh hati menaruh harapan padanya. Andainya terjumpa aku kembali dengan dia aku hanya ingin mengatakan padanya...

"Kembalikan Cincin Milik Timah..."


(Curhat Seorang Teman)
 

Selasa, 15 Disember 2015

Janganlah asyik negatif aje

Aku dan dia sebuah pertemuan yang sudah ditakdirkan. Aku yang polos, aku yang naif akhirnya terikat sepanjang hayat bersama dia. Sebuah permulaan yang bukan baik. Tapi aturan tidak dapat dihindari. Aku teringat kata-kata seorang teman, jangan tersalah pilih demi masa depan. Adakah aku yang rabun atau aku yang terdesak.
Dia bukan sebuah cinta yang tulus.
Memperkenalkan diri sebagai individu lain. Membawa khabar yang manis untuk masa depan hingga akhirnya aku pasrah dan redha dengan hidup ini. Walaupun kadang-kadang aku rasa sakit untuk teruskan.
Dia menjanjikan masa depan yang cerah. Menjanjikan sebuah mahligai impian dambaan setiap wanita.
Bila ibubapa bertanyakan adakah aku benar-benar bersedia untuk meneruskan sebuah ikatan ini. Aku mengiayakan walaupun hati masih lagi berbelah bahagi. Melihat teman-teman sudah berteman tapi separuh usia ini aku masih lagi mencari dan teraba-raba dalam kehidupan.
Kerana cinta dalam diri membuat  aku selalu terjaga untuk setia pada dirinya. Dia memberiku makna bahagia walaupun tanpa sebuah pertemuan nyata. Namun demi sebuah janji akhirnya aku akur dan menyerah diri untuknya agar bisa menjaga masa depanku.
Seawal malam pengantin, sudah banyak petanda bahawa masa depan tidak seindah impian. Mahligai indah hanya dimata orang lain namun aku yang harus lalui penuh dengan kerikil yang menikam tapak kaki. Terluka dan terus terluka.
Mas kahwin juga sudah terselit banyak persoalan walaupun akhirnya dia menyediakan juga. Nilainya juga menurut dia hanya sekadar melepas batuk ditangga.Tetapi kerana sudah diikat untuk setia, dilalui jua. Jodoh itu berat tapi ianya masih bertahan hingga kini. Kisah Wanita teraniaya harus menafkahi diri sendiri dan keluarga. Kehidupan tanpa nafkah zahir dan batin tetap tegar diharungi. Walaupun hatinya masih amengharapkan sinar mungkinkah ada perubahan tapi dia sudah lelah sebenarnya. Andainya dia mengalah, banyak hati yang perlu dijaga.
"Kamu cantik, muda dan punya kerjaya kenapa harus bertahan pada sebuah kehidupan penuh toksik ini?"
"Aku takut untuk hadapi hidup tanpa seorang yang bergelar lelaki walaupun ianya tiada fungsi."
"Sampai bila kau mahu menghambakan diri dan berkorban? Bangkitlah!"
"Tidak! Aku redha dengan apa yang aku lalui ini."
"Redha katamu? Kalau redha kenapa kamu menangis kepadaku?"
"Aku perlu curhat untuk menghilangkan ketegangan dalam diriku."

(Curhat Seorang Kenalan)

Selasa, 15 Disember 2009

Jiran Sebelah Rumahhhh

 

Jiran sebelah rumah sewaku adalah dua orang lelaki. Salah seorangnya adalah suami teman serumahku. Semasa akhir pengajian aku teman-teman serumah mula berpindah. Akhirnya tinggallah aku sendirian di rumah tersebut.

Semenjak tinggal sendirian, aku tidak perasan diriku telah menjadi incaran jiran sebelah. Satu hari kami berselisih di tangga dan dia menegurku. Kami berbual dari tangga bawah hingga sampai ke depan pintu rumah sewaku. 

Satu hari dia menghantar mesej mengajak aku keluar. Katanya dia mendapat nombor telefonku dari suami teman serumahku. Kami berbual melalui telefon dan berjanji untuk keluar pada esok hari. Keesokkanya selepas solat maghrib, kami bertemu di pintu pagar  rumah sewa kami dan aku menaiki keretanya mengikutinya keluar makan. Dia membawaku makan di warung sahaja kerana itu memang pilihanku. Tempatnya agak jauh juga dari rumah sewa kami. Kami makan bubur dan dia memperkenalkan beberapa makanan yang begitu asing bagiku. 

Sepanjang aku tinggal berjiran dengannya kami sempat keluar beberapa kali. Dia adalah seorang yang sibuk dan kadang-kadang tidak balik ke rumahnya. Sekiranya dia balik, dia akan meninggalkan makanan yang dibelinya yang disangkut di pintu rumahku dan memberi tahu aku melalui telefon makanan yang dibelinya. 

Perhubungan kami terhenti setelah aku tamat pengajianku dan kami tidak pernah berjumpa selepas itu walaupun adalah sekali sekala berbalas mesej dengannya. Itu sahaja kisah aku dan dia.

(Curhat Seorang Teman Lama)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...