Dia adalah antara lelaki yang aku kenali melalui alam maya. Majalah URTV April 2000 bermula kisahnya. Dia menghantar salam perkenalan dan aku membalasnya. Tidak lama kemudian aku menemuinya untuk pertama kali di bandar Ikan Patin.
Aku ditemani rakan sekerja dan dia juga hadir berdua bersama temannya dari ibu kota. Waktu itu aku seorang yang pemalu dan sangat naif. Dia rupanya menyukai gadis polos seperti aku. Pertemuan itu dirapatkan lagi dengan panggilan telefon kerana jarak antara aku dan dia agak jauh untuk bertemu saban waktu.
Aku suka berbicara dengannya. Senang mengenalinya tapi hatiku tidak padanya. Dia seorang lelaki yang baik. Tulus dalam hubungan. Malahan aku juga diberi peluang untuk bercakap dengan ibunya melalui telefon. Dia kerap menghubungiku melalui telefon. Suka mengusikku.
Apabila dia mula bercerita perihal masa depan, aku tidak mahu dia mengharapkan lebih dari seorang kenalan. Aku memberitahunya bahawa aku bukanlah gadis yang baik. Maksudku bahawa aku mengenali lelaki lain lagi selain dia. Tapi rupanya dia menyangka aku telah terlanjur dengan lelaki lain sebelum dia. Sedangkan maksudku bukan begitu. Aku hanya mengenali beberapa lelaki lain selain dia. Katanya dia sanggup menerima keadaan diriku. Tapi aku secara perlahan menolaknya untuk melangkah terus ke depan. Aku memberanikan diri menelefon ibunya perihal aku yang tidak bersedia untuk menjadi miliknya. Aku tidak tahu apa yang merasukku waktu itu.
Teringat janjiku dengan pria lain yang berada nun jauh seberang laut mungkin menjadi alasan kukuh tidak menghadirkan rasa cinta di sanubariku. Tapi aku rasa sayang untuk melepaskan ikatan perkenalan yang terjalin. Bahkan hingga kini setelah masing-masing sudah berumahtangga aku dan dia masih berhubungan lewat alam maya tanpa diketahui pasangan kami masing-masing. Lagipun hubungan kami masih terkawal dan tidak pernah melampaui batas antara lelaki dan perempuan.
Dia masih tetap menganggap aku mempermainkan perasaannya tapi aku tidak berniat walaupun bunga-bunga permainan itu ada, tapi aku takut untuk memutuskan terus hubungan dengannya. Aku tak sanggup kehilangan dia terus dari hidupku. Setiap kali hari lahirnya aku sentiasa ingat. Aku hanya mampu ingat dari jauh kerana aku tak mahu isterinya salah faham. Melihat dia bahagia dengan anak-anak dan isterinya aku tak mahu mengganggu kebahagian itu walaupun hati aku sukar untuk bahagia. Namun tagline wajib sebelum ini sudah lama bagai dilupakan...
"KU TUNGGU JANDAMU!"
(Curhat Seorang Kenalan)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan