Memaparkan catatan dengan label Adakah Dia Cinta Pertamaku. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Adakah Dia Cinta Pertamaku. Papar semua catatan

Jumaat, 9 Ogos 2024

Aku Hanya Ingat Nama Dia Shahril


 Aku hanya ingat namanya Shahril. Sebenarnya nama dia lebih panjang lagi. Tapi aku betul-betul lupa nama penuhnya.

Aku kenal dia melalui classmate aku. Pertemuan pertama kami berlaku di air terjun Lata Kinjang. Dia seorang tentera berpangkat Kapten. Aku waktu itu tidak sepenuhnya hati kepada dia kerana waktu itu cinta bagiku tidak penting. Asalkan ada lelaki yang sudi berkawan dan mengajak aku keluar di hari cuti mengelak rasa boring terkurung di rumah sewa.

Cerita aku dan dia tak banyak. Aku juga lupa berapa lama mengenalinya. Kami sempat keluar beberapa kali berkelah dan mandi di air terjun. Dia memang jatuh cinta denganku tapi hatiku masih samar untuk dia. 

Apabila dia mula berbincang perihal ibunya dan berniat membawa aku berjumpa dengan ibunya, aku mula tarik tali. Aku belum terfikir ke arah itu.  Waktu itu telefon tangan belum ada. Dia akan datang ke rumah sewaku mengajak aku keluar. Namun aku enggan keluar.

Aku tak tahu bila kami mula terputus tapi seingatku apabila dia memberitahu dia terpaksa berkursus lama untuk kenaikan pangkat dan tidak dapat berjumpa denganku. Semenjak itu aku tanpa sedar kehilangan dia. Walaupun dia ada datang ke rumah sewa mencariku tapi aku waktu itu sudah keluar dengan lelaki lain. 

Dia agak kecewa menurut teman yang memperkenal kami. Tapi jiwa aku yang masih ingin bebas, tidak suka terikat dengan seseorang menyebabkan kami terputus hubungan hingga kini..

Itulah secebis kisah dengan lelaki asal Gopeng yang mengguna kereta Toyota Putih plate W... waktu itu. Kini aku hanya terbayang foto kenangan kami bersama di Air Terjun Lata Kinjang yang ibuku musnahkan ketika berkunjung ke rumah sewaku beberapa tahun kemudian. 

Aku Aje Ke Yang Perasan

 

Satu pagi aku dengan tiga orang kawan jogging dekat Taman Tasik dekat bandar kita orang tinggal. Pagi itu disebabkan hari bekerja, maka tak ramailah orang yang berada di kawasan tersebut.

Hari itu kebetulan kami ada aktiviti kecergasan fizikal di luar pejabat dan diberi kebebasan untuk berada di kawasan tersebut. Setelah berlari hampir 6 pusingan sejauh 1km setiap pusingan kami berhenti rehat. Kami mencuba guna alat senaman yang disediakan di kawasan tersebut.

Sedang leka melakukan senaman dengan alat tersebut, ada dua orang pemuda jogging di trek berdekatan. Dia membuat beberapa pusingan dan melintasi beberapa kali kawasan kami berkumpul. 

Aku sempat mencuri pandang lelaki yang memakai suit putih. Tinggi dan kacak nampak chinese look. Sambil membuat senaman kerana peralatan yang aku guna tu mengadap ke arah trek jogging, sempatlah aku ambil peluang cuci mata melihat ke arah lelaki tersebut. Setiap kali dia melintasi kawasan aku berada, aku ambik peluang curi-curi pandang ke arahnya.

Hinggalah semasa aku guna peralatan untuk angkat tubuh dan aku gagal melakukannya. Faktor berat badan yang dah rasa semakin berat aku tidak berjaya angkat tubuhku walaupun 1cm dari tanah.

Kebetulan dia melintasi kawasan itu dan aku perasan dia juga mencuri pandang ke arah kami. Tiba-tiba mulutku gatal menyebut..."Kalau berjaya buat benda ni, mesti laki aku terkejut tengok aku makin slim." Semua kawan-kawan aku ketawa masa tu.

Aku perasan lelaki yang sedang jogging itu dengar apa yang aku cakap. Dia melintasi kami seperti biasa namun untuk pusingan seterusnya tidak lagi kelihatan dia berlari melintasi kami.  Sehingga kami mengambil keputusan untuk balik, aku cuba mengintai keberadaan lelaki suit putih itu namun dia sudah tiada. 

Aku terfikir adakah... 

Ah mengarut ajelah. Aku sekadar suka tengok lelaki chinese looking aje. Takde niat lain ya.

Itu je cerita misteri aku kali ini.

Jumaat, 15 Januari 2021

Menari Bersamaku

Kami sebaya. Dia dari borneo merantau ke tempatku bekerja. Kami berjumpa dan bercinta. Namun jodoh tidak sampai ke jenjang pelamin. Kami terpisah jua setelah dua tahun berkenalan.

Mengenalinya membuat aku rasa ceria jalani alam remaja walaupun saat itu sebenarnya remaja purba. Dia tidaklah kacak dan tidaklah tinggi tetapi bersamanya aku rasa serasi. Dia ikhlas menyayangiku. Rela mengikut apa sahaja mahuku. Kami berkongsi rasa dan perasaan namun kandas di tengah jalan akhirnya.
 Aku tahu dia sangat kecewa dengan perpisahan kami. Tapi apa dayaku tidak mampu untuk bersamanya. Selepas sekian lama berpisah, aku terjumpa media sosial miliknya dan kami mula berhubung secara maya. Mengingati masa zaman percintaan kami. Kini dia telah berkahwin dan mempunyai anak yang masih kecil. 

"Nanti abang beli kereta. Kita kongsi beli rumah!" Itu perancangan kami  yang tidak menjadi kenyataan akhirnya.

Menurutnya selepas kami berpisah, dia kecewa dan merancang tidak akan bercinta lagi. Namun jodohnya dipertemukan akhirnya dengan perempuan satu negeri dengannya. Aku tidak berniat untuk mengharap cinta kami terjalin semula kerana kami sudah ada pasangan sah masing-masing. Kami berusaha untuk setia kepada rumahtangga kami. Aku juga hanya menyapanya dan mengimbas kenangan sekadar ingatan silam sahaja. Teringat Taman Tasik Chatin saksi bisu pertemuan kami.

(Curhat Teman Lama)

Rabu, 16 Januari 2019

Adakah Dia Cinta Pertamaku?


 Aku mengenali dia semasa aku di bangku SMA. Perhubungan kami diteruskan sehingga aku masuk ke kolej. Dia juga dikolej yang sama denganku. Aku juga tidak menyangka dia mendapat tempat yang sama denganku.Semasa di kolej kami mencuri peluang untuk keluar bersama setiap hujung minggu. Aku dan dia terbatas pertemuan kerana kami masih belajar. 

Semasa aku di tahun kedua, dia tiba-tiba menghilang. Aku nanar mencarinya. Lama kemudian aku mendapat tahu dari temannya bahawa dia telah berhenti kolej. Aku rasa sangat terkilan kerana dia tidak memberitahuku langsung. Waktu itu aku sibuk dengan ujian semester. Keputusan ujianku hanya cukup makan sahaja yang melayakkan aku untuk meneruskan pengajianku.

Teringat aku semasa di sekolah SMA, aku berjumpa dengan adik perempuannya. Dia mengenaliku sebagai kekasih abangnya. Adiknya mengharapkan hubungan aku dan abangnya berkekalan. 

Namun jodoh kami hanya setakat itu sahaja kerana sehingga aku tamat pengajian dan bekerja serta berkahwin selepas tahun ketiga bekerja, aku tidak pernah menemuinya lagi. 

Kini cerita mengenai dia ada sekali sekala aku selidiki dari adiknya yang masih menjadi kenalan rapatku. Abangnya telah berkahwin dan mempunyai cahaya mata. Aku tidak kerap bertanya perihal dia kerana aku tahu batasan diriku. Sekadar ingat tak semestinya bersua.

Melihat wajah pria yang menemani hidupku kini, pasti aku kadang-kadang teringat dia. Wajahnya yang kacukan Cina Melayu sedangkan pria yang menemani hidupku berwajah seakan sama walaupun dia campuran Minang dan Rawa. Kedua-duanya berwajah tiongkok. Itulah yang pertama dan Insya-Allah yang terakhir untukku.

(Curhat Seorang Kenalan)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...