Akhirnya ia berlalu pergi.
Saat yang paling membuat aku jadi down apabila sesuatu yang aku ingin cuba gapai akhirnya terlepas jua dari genggamanku.
Aku dan dia hanya sebuah memori yang tak akan terulang lagi. Angan-angan dan impian indah yang kuharapkan berakhir jua.
Aku sudah lama tak menghubungi dia. Kali terakhir yang aku ingat hampir 18 tahun lepas. Sehinggalah beberapa minggu lepas, aku jadi teringat kepada dia. Disebabkan tekad di hati aku yang tidak mahu terus lena diulit intan, semua nombor telefon dan perkara yang berkaitan dengan dia aku buang. Namun keterikatan hati itu masih ada kerana aku pernah berharap untuk kembali kepadanya suatu masa nanti, andai hubungan aku dengan pasanganku yang sedia ada terlerai. Aku menyimpan impian untuk bersamanya. Akan aku cari di mana sahaja dia berada andai kisah aku bertukar haluan.
Ingatan aku kepada dia tidak pernah hilang. Memori dengan dia sentiasa mengetuk mindaku dalam keadaan tak waras. Setiap kali hari peringatan sesuatu aku pasti teringatkan dia kerana, dia adalah satu-satunya orang yang akan mengirim ucapan pada hari-hari tersebut sebelum kisah kami terputus pada 18 tahun lepas.
Berkisar berita terkini, aku tiba-tiba jadi rindu. Dalam diam aku mula mengetuk keyboard mencari berita tentang dirinya. Disebabkan dia adalah orang penting, maka berita tentang dirinya sangat mudah untuk aku cari. Hanya taip namanya sahaja maka akan muncul beberapa cebisan kisah perkhabaran tentang dia.
Dan di suatu senja, aku hampir berputus asa. Rasa sesak nafas. Sebak dalam hati yang tak dapat aku kongsikan dengan orang lain.
"Hari ini solat jenazah Almarhum xxx di Surau xxx..."
"Pada yang mengenali...
Pada Oktober 2025, berita mengenai pemergian Allahyarham telah dikongsikan secara meluas dan menerima ucapan takziah daripada pelbagai pihak, termasuk pimpinan parti ...
Berita pemergian beliau dihujani ucapan takziah dan doa daripada bekas rakan setugas xxx, ahli politik, serta komuniti xxx yang menyifatkan beliau sebagai seorang yang berbudi pekerti tinggi dan banyak berjasa.
Beliau juga membawa pengalaman pengurusan strategiknya ke sektor korporat dengan berkhidmat sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pengarah di syarikat xxx...
.... Ya, Allah! Luluh hatiku membaca cebisan berita itu. Selama ini aku terputus hubungan dengannya tapi hati aku masih teringat padanya. Teringat janji-janji yang pernah aku mungkiri dengannya suatu ketika dulu. Aku ingin tebus semua janji itu tapi takdir menyatakan sebaliknya. Ianya menoktahkan diri setelah 26 tahun kisah aku dan dia terlipat kemas dalam mimpi-mimpi yang tak akan menjadi nyata.
Doaku semoga arwah ditempatkan bersama para solihin dan anbia, dosa-dosa diampuni dan semoga doa serta pahala dari anak-anak soleh dan solehah miliknya terus mengalir tanpa henti.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan